semalam pergi klinik untuk scan baby dan untuk confirmkan tarikh bersalin..... tup tup pas scan doktor kata ada FIBROID dlm rahim ... sgt risau sampai lah terjumpa artikal ni......
Kesan fibroid terhadap kehamilan
Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim.
Bagi wanita, mengetahui sesuatu yang asing sedang tumbuh dan membesar
di dalam rahimnya merupakan perkara yang merunsingkan. Ketumbuhan
fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di
bawah umur 50 tahun.
Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.
Kehamilan dan fibroid
Fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Maka
tidak hairanlah fibroid ditemui dalam kalangan wanita hamil.
Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa
seseorang itu hamil. Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada
yang tidak. Akan tetapi, kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika
hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam
badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid mungkin bergantung pada faktor
genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah
yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut.
Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang
menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70
peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa
hamil.
Sebanyak 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid, dan
fibroid ini didapati membesar dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan.
Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang
berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan.
Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid ketika
menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang menghidap
fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun fibroid
didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana
fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak.
Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah.
Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala.
Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan
baik. Ia juga untuk membantu ibu supaya tidak mengalami keguguran dan
kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu
juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak
mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.
Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin
berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami
keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran
fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang
banyak selepas melahirkan bayi.
Keguguran
Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang
membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku,
fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi
penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang
mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga akan
menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin
tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan keguguran.
Kelahiran pramatang
Keadaan ini berlaku kerana fibroid yang makin membesar semasa janin
dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada masa yang
sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada di
bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala bayi
yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut
mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang
sepatutnya.
Pembesaran fibroid
Ketika hamil, kebanyakan hormon akan dihasilkan oleh uri (plasenta)
dan kebiasaannya menyebabkan peningkatan aras hormon estrogen.
Peningkatan aras hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan pembesaran
fibroid yang mungkin secara mendadak.
Jika pembesaran fibroid berlaku terlalu cepat, salur darah yang
membekalkan nutrien kepada fibroid mungkin tidak boleh membekalkan
oksigen yang mencukupi kepada tisu fibroid.
Jadi, sebahagian fibroid yang tidak mendapat bekalan darah akan
mengalami degenerasi atau dikenal sebagai 'degenerasi merah' (red
degeneration).
Proses degenerasi ini akan menyebabkan wanita yang sedang hamil
mengalami kesakitan. Biasanya, kesakitan ini akan hilang dalam jangka
masa yang pendek tanpa rawatan dan tidak akan mendatangkan masalah
kepada kandungan.
Bagi wanita yang tidak dapat menahan kesakitan, mereka boleh diberikan ubat penahan sakit jika perlu.
Kelahiran yang tidak normal
Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah
rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan
fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal
seperti melintang atau songsang.
Bayi yang berada dalam keadaan melintang atau songsang terpaksa
dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Wanita yang mempunyai masalah
sebegini akan diberikan tarikh tertentu bagi pembedahan Caesarean secara
terancang.
Pendarahan yang banyak selepas melahirkan bayi
Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan
salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk
mengelakkan perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan
suntikan ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.
Rawatan fibroid ketika hamil
Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat
penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam
bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan
semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan
caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama.
Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. Keadaan ini
berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar di bahagian
rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil.
Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya,
sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Oleh itu,
lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila
aras hormon kembali normal.